Apakah itu hiperinflasi? Bagaimana ia berlaku dan apakah kesannya?

Anda pasti pernah mendengar tentang inflasi kan? Tapi wujud sejenis inflasi yang jauh lebih tinggi dari biasa, iaitu hiperinflasi.

Matawang Venezuela, Bolivar Fuerte. Oleh kerana hiperflasi, rakyat di negara itu perlu menggunakan kepingan bil yang tebal untuk membeli keperluan asas. © Matyas Rehak/ 123RF

Inflasi bermaksud kenaikan harga barang. Ini adalah fenomena biasa yang dialami oleh negara-negara di serata dunia yang berlaku akibat permintaan yang tinggi (demand) dan kekurangan bekalan (supply).

Secara amnya, semua negara mahukan kadar inflasi yang rendah dan stabil, kerana ia akan memudahkan untuk menetapkan polisi kewangan yang baik. Jadi tidak hairanlah sekiranya kebanyakan bank pusat contohnya US Federal Reserve dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengawasi keadaan inflasi secara ketat.

Bayangkan sekiranya harga barang sekejap naik 10%, sekejap naik 30%, sekejap  turun 20%. Jika anda seorang peniaga, anda nak letak harga barang pun pening kalau macam ini.

Tapi wujud sejenis inflasi yang jauh lebih tinggi dari biasa, iaitu hiperinflasi. Hiperinflasi boleh dikatakan berlaku sekiranya kadar inflasi sesuatu negara melebihi 50% pada bulan tersebut. Mungkin untuk seekor ayam, seseorang perlu membayar harga RM7 sekilo sekarang, tapi dalam situasi hiperinflasi, ianya akan menjadi RM10.50 sekilo (naik 50%) ataupun lebih dalam masa hanya sebulan.

Contoh negara yang pernah mengalami hiperinflasi termasuklah Bolivia, Germany, China, Venezuela, Tanah Melayu (Malaya) dan banyak lagi.

Bagaimanakah hiperinflasi berlaku?

10611621 – inflation shrinking value of us dollar
  •  Mencetak wang dengan terlalu cepat

Apabila kegawatan ekonomi berlanjutan terlalu lama, salah satu tindakan yang diambil oleh sesebuah bank pusat ialah mencetak wang. Lambakan wang di dalam sistem ini kemudiannya membuatkan nilai wang tersebut susut buat sementara. Akibat lambakan wang di dalam sistem, bank-bank akan berusaha untuk meminjamkannya kepada sesiapa sahaja dengan kadar yang rendah dan menarik.

Secara teorinya, dengan kadar faedah yang begitu rendah, lebih ramai orang ataupun syarikat akan melakukan pinjaman dan mula berbelanja, lalu memacu semula ekonomi yang telah perlahan untuk menjadi lebih pesat. Maka, kesusutan nilai wang sementara ini tidak mengapa asalkan ianya diikuti dengan pemulihan ekonomi yang akan membuatkan nilai matawang tersebut naik semula.

Namun, sekiranya ekonomi tidak pulih dan bank pusat terus mencetak wang secara agresif, nilai wang tersebut akan merosot dengan cepat dan membawa kepada hiperinflasi.

  • Hilangnya keyakinan terhadap nilai matawang

Punca hilangnya keyakinan terhadap nilai matawang boleh datang dari pelbagai sumber. Contohnya, kegagalan sesebuah kerajaan untuk mentadbir dan menguruskan dana negara, kelemahan dalam pengurusan polisi kewangan, atau kekalahan dalam peperangan.

Oleh kerana hilangnya keyakinan terhadap masa hadapan ekonomi negara tersebut, ramai orang bertindak menjual matawang negara itu yang akhirnya menyebabkan nilainya jatuh secara mendadak.